“Agong perlu laksana syor kerajaan lantik AG”- bekas ketua hakim

Bekas Ketua Hakim Negera Tun Zaki Azmi berkata dari segi undang-undang, Yang di-Pertuan Agong perlu melaksanakan syor kerajaan agar melantik peguam kanan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara (AG).

“Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya enggan atau melewat-lewatkan memberi perkenan baginda. Saya yakin kerajaan sudah membuat pertimbangan tentang peribadi Thomas sebelum mencalonkan namanya bagi jawatan itu,” kata beliau kepada Bernama hari ini.

Tun Zaki berkata beliau mengenali Thomas sejak sekian lama dan pernah mengendalikan kes mahkamah bersama-sama peguam terkemuka itu.

Memandangkan tiada khabar daripada Istana tentang pemilihan AG oleh kerajaan, Raja-raja Melayu dijangka membincangkan perkara itu, esok.

Tun Zaki, yang pernah menjadi peguam sebelum dilantik menjadi presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara, berkata demikian apabila diminta memberi pandangan tentang cadangan pelantikan Thomas sebagai peguam negara baharu.

Sementara itu, peguam terkenal, Datuk N. Sivananthan pula berkata sebagai seseorang yang berada ‘’di luar sistem’’, Thomas merupakan pilihan terbaik untuk mengisi jawatan itu kerana beliau akan mempunyai perspektif berbeza tentang perkara yang sedang dihadapi.

“Beliau memiliki kelayakan yang cukup hebat dan lebih lurus daripada pembaris. Secara umumnya, beliau tidak terlibat dengan politik dan amat menghormati kedaulatan undang-undang. Saya rasa beliau adalah seorang yang tidak boleh dibuli atau dipengaruhi supaya melakukan sesuatu yang tidak beretika atau menyalahi undang-udang oleh sesiapa jua,” katanya.

Sivananthan berkata pengetahuan Thomas tentang undang-undang sukar ditandingi dan komen yang mengatakan beliau tidak fasih tentang undang-undang jenayah adalah mengarut kerana beliau boleh mengeluarkan perintah kepada peguam swasta untuk mendakwa sesuatu kes bagi memastikan pertuduhan dilakukan secara adil dan bebas daripada tuduhan bersifat berat sebelah kerana peguam swasta yang mengendalikan kes itu tidak mempunyai sebarang ikatan kesetiaan dengan peguam negara.

“Tidak dapat dinafikan beliau adalah seorang litigator yang mahir dan saya berpendapat beliau adalah pilihan paling tepat untuk menjadi penasihat undang-undang kepada kerajaan dan secara jujur, mujurlah saya tidak dikehendaki memikul tugas berat dan besar yang perlu beliau pikul itu (sekiraya dipilih menjadi AG),” katanya sambil menjelaskan bahawa seseorang yang menerima jawatan itu perlu memiliki keinginan yang amat mendalam “untuk memperbetulkan keadaan”.

Peguam perlembagaan Datuk Malik Imtiaz Sarwar pula berpendapat Thomas merupakan pilihan sesuai kerana beliau seorang peguam yang cukup berpengalaman serta memahami secara mendalam tentang perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Tiada calon lain yang lebih ideal. Orang ini perlu mempunyai kekuatan dalaman seperti diharapkan serta memiliki integriti yang tiada taranya, ” kata beliau. -Bernama

Sumber : malaysiakini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*