“Hati-hati bila buat tuduhan” nasihat Najib pada Guan Eng

Datuk Seri Najib menasihati kerajaan agar bersikap lebih berhati-hati semasa membuat dakwaan yang dianggapnya bermotif politik.

Kata anggota pembangkang dari Pekan itu, langkah berkenaan menjadi lebih perlu apabila tuduhan yang dibuat turut melibatkan syarikat milik negara asing.

Menurut Najib tanpa sikap berhati-hati kerajaan mungkin mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia.

Sebelum itu bekas perdana menteri terbabit tampil menjelaskan mengenai proses perundingan dan pelaksanaan dua projek saluran paip seperti dibangkitkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng siang tadi.

“Berdasarkan kepada ingatan saya, saya yakin, semua prosedur dan proses perundangan telah dipatuhi berkaitan rundingan dan perlaksanaan dua projek saluran paip dibangkikan Lim Guan Eng hari ini,” katanya.

Menurut Najib beliau juga mendapati Lim menyebut bahawa kesemua bayaran yang dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) mengikut perjanjian, dan bukan kepada pihak-pihak lain.

Katanya CPPB ialah anak syarikat kepada salah sebuah syarikat terbesar di dunia dan dimiliki kerajaan China iaitu China National Petroleum Corporation.

China nak bantu pekebun Malaysia

“Kedua-dua projek saluran gas ini yang lebih ekonomik dan menberi jaminan manfaat bekalan tenaga bagi Malaysia telah dirunding melalui asas kerajaan kepada kerajaan (government to government) dengan kerajaan China.

“Saya dan Perdana Menteri China, Li Keqiang, telah menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kesefahaman (MOU) bagi projek saluran gas ini bersama beberapa projek lain ketika membuat lawatan rasmi ke Beijing pada 14 Mei 2017,” katanya.

Pada majlis yang sama, kata Najib, China turut memberikan komitmen untuk mengimport barangan bernilai AS$2 trilion dari Malaysia bagi tempoh lima tahun, selain membuat pelaburan sehingga AS$150 bilion di Malaysia.

China juga kata Najib menawarkan 10,000 tempat bagi latihan serta pendidikan untuk rakyat Malaysia di pelbagai institut di China.

“Tidak lupa pula komitmen daripada kerajaan China membantu pekebun kecil sawit di Malaysia dengan pembelian tambahan minyak sawit daripada kita,” katanya.

Namun dengan isu yang dibangkitkan Lim hari ini, Najib berkata, beliau menyambut baik agar siasatan dijalankan tehadapnya.

“Saya mengalu-alukan penyiasatan secara telus dan terbuka terhadap kedua-dua projek ini, namun kita perlu lebih berhati-hati membuat sesuatu dakwaan bermotif politik terutama melibatkan syarikat milik sebuah negara asing yang mungkin akan mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia,” katanya.

Sumber : malaysiakini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*